Monday 10 March 2014

Pastri

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua!  
Di sini saya uploadkan resepi  asas untuk pastri pedas/savori iaitu pai. Anda juga boleh menggunakan resepi asas ini untuk membuat karipap ataupun sardin gulung.  Bagi inti,  anda boleh inovasikan dan bawa bahan-bahan sendiri ok (e.g sardin, tuna, daging etc...)




Bahan-bahan Asas Pastri Savori:
Bahan-bahan:
125 gm tepung gandum
60 gm marjerin
1/8 tsp garam
2-3 tbs air sejuk

Cara-cara:
1.  Ayak tepung dan garam.  Masukkan tepung gandum, garam dan marjerin ke dalam mangkuk adunan.
2.  Dengan menggunakan pisau pelepa, potongkan marjerin beku kepada ketul-ketul kecil .
3.  Gaul ramas marjerin dan tepung sehingga menjadi serbuk roti dengan menggunakan hujung jari.
4.  Masukkan air dan adunkan sehingga menjadi doh.  Untuk membuat pai, bahagikan kepada dua biji doh.  Rehatkan doh di dalam peti sejuk selama 30 minit.
5.  Canai 1 doh pastri di atas papan canai yang ditaburkan dengan sedikit tepung.  Canai sehingga 2mm (1/8 in) tebal.  6.  Terap pastri dengan penerap bulat.
7.  Letakkan ke dalam acuan pembakar yang telah digriskan.  Cucuk dengan garfu dan bakar 5-6 minit.
8.  Masukkan inti pai ke dalam acuan berisi base pai yang telah dibakar tadi.
9.  Canaikan 1 lagi doh pastri sehingga 1/8 inci tebal untuk dijadikan lapisan atas (topping) pai
10.  Sapukan lapisan atas pai dengan kuning telur yang dicampur dengan 1 tsp air.  Cucuk sedikit dengan menggunakan pisau.
11.  bakar 10-20 minit dengan suhu 200C sehingga masak atau keperang-perangan.


Bagi pastri manis pula, secara asasnya anda masih menggunakan sukatan asas yang sama seperti pastri savori, kecuali anda tambahkan  gula kerana pastri ini adalah pastri manis dan dimasukkan telur untuk menyedapkan lagi rasanya.  Sukatan air sejuk pula dikurangkan sedikit kerana telur yang ditambah juga merupakan cecair.  Berikut adalah resepi asasnya:

Bahan-bahan asas Pastri Manis:
125 gm tepung gandum
60 gm marjerin
1/8 tsp garam
1 biji telur
1 tsp gula
1-2 tbs air sejuk

Contoh pastri manis adalah tat telur.  Selain telur, anda boleh menginovasikan intinya dengan bahan-bahan lain yang dibawa sendiri.

Cara-cara:

1.  Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk adunan, kecuali telur, gula dan air.
2.  Gaul ramas tepung dan lemak sehingga menjadi serbuk roti.
3.  Masukkan gula.  Kemudian campurkan telur yang telah dibancuh dengan 1 tbs air sejuk, gaul hingga menjadi doh.  Jika doh kering, tambahkan sedikit air sejuk.  Rehatkan doh 30 minit dalam peti sejuk sebelum digunakan.
4.  Canai doh 1/2 cm dan terap menggunakan penerap bulat.
5.  Letakkan dalam acuan pembakar yang telah digriskan dan dialas dengan acuan kertas.
6.  Cucukan dengan garfu.
7. Bakar separa masak 10 minit pada suhu 180C
8.  Keluarkan dan tuang adunan kastad telur ke dalam tart.
9.  Bakar semula 5 minit.
10.  Sejukkan sebelum dihidangkan.

Bahan-bahan Kastad Telur (untuk inti):

1/4 cawan susu
1 biji telur
1/4 cawan gula
1/4 cawan air
2 tsp tepung kastad
1/8 tsp esen vanila

Cara-cara
1.  Campurkan semua bahan dan kacau sebati.  Masak di atas api perlahan sambil dikacau sentiasa sehingga kelihatan berkilat
2.  Tuang ke dalam kulit tart yang telah dibakar separa masak 3/4 penuh.
3.  Bakar 5 minit sehingga masak (gunakan api bawah sahaja).
4.  Sejukkan sebelum dihidangkan.

Biskut Cara Gaul dan Ramas

Berikutnya anda semua akan memasak biskut iaitu biskut cara gaul ramas seperti yang dinyatakan dalam proforma subjek ini.  Resepi asas bagi biskut berlemak bagi cara gaul dan ramas ini biasanya adalah 1:2, iaitu 1 bahagian lemak bersamaan dengan 2 bahagian tepung. Maka di sini saya upload kan dua resepi asas biskut cara gaul dan ramas untuk anda amali kan di bilik masak nanti.



Biskut Kacang


Bahan-bahan:

125 gm tepung gandum
60 gm mentega
40 gm gula halus
Secubit garam
1 tsp baking powder
1 biji kuning telur + 2 cams air sejuk + 1/2 camt esen vanila, dicampur sebati
(putih telur untuk glis pada biskut)
30 gm kacang tanah digoreng dan dibuang kulit dan ditumbuk/dikisar halus

Cara-cara:

1.  Sediakan dulang pembakar, gris dan panaskan ketuhar 180C.
2.  potong mentega kepada ketulan-ketulan kecil menggunakan spatula.
3.  Gaul ramas lemak ke dalam tepung.
4.  Masukkan gula dan ayak kacang ke dalam adunan biskut.
5.  Kacau rata dan masukkan campuran kuning telur.
6.  Uli perlahan hingga menjadi doh.
7.  Canai doh biskut setebal 3mm (1/8 in) dan terap menggunakan acuan digemari.
8.  Alihkan biskut ke dalam dulang pembakar dengan pisau pelepa.
9.  Gliskan biskut dengan putih telur dan tabur dgn kacang tanah kasar.
10.  Bakar 15-20 minit atau sehingga biskut kuning emas.
11. Sejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.


Berikutnya adalah resepi biskut kacang juga tetapi menggunakan minyak mazola (minyak jagung, atau lain-lain brand) 

Biskut Mazola

Bahan-bahan:

100 gm tepung gandum
25 gm tepung jagung
50 gm minyak mazola
40 gm gula icing
30 gm kacang tanah, digoreng dan dikisar halus 
1/ 2 tsp garam
1 tsp baking powder
1 biji kuning telur, dicampur sedikit pewarna kuning untk diglis pada biskut

Cara-cara:

1.  Sediakan dulang pembakar, gris dan panaskan ketuhar 180C.
2.  Ayak tepung gandum, tepung jagung, baking powder dan garam.
3.  Campurkan gula icing dan kacang yang telah dikisar halus, gaul rata.
4.  Masukkan minyak mazola, gaul ramas dan kepalkan sehingga menjadi doh.
5.  Canai dan terap dengan acuan digemari 
6.  Alihkan biskut ke dalam dulang pembakar dengan pisau pelepa.
7  Gliskan biskut dengan kuning telur dan tabur dgn kacang tanah kasar.
8.  Bakar 15-20 minit atau sehingga biskut kuning emas.
9. Sejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.


Biskut ArabPancawarna

Bahan-bahan:

125 gm tepung gandum
60 gm minyak sapi
40 gm gula halus
1/8 camt pewarna kuning, hijau dan merah
60 gm gula icing (diayak) atau gula kastor - untuk saduran
Cawan kecil untuk biskut secukupnya

Cara-cara:

1.  Sediakan dulang pembakar, gris dan panaskan ketuhar 180C.
2.  Gaul ramas tepung, gula dan minyak sapi sehingga menjadi doh.
3.  Bahagikan doh kepada 3 bahagian dan dicampurkan kepada 3 pewarna makanan.
4.  Bulatkan doh dan cantumkan tiga biji doh yang berlainan warna. Masukkan dalam papercup.
5.  susun dalam dulang pembakar dan bakar 15-20 minit hingga masak.
6.  Taburkan gula icing/gula kastor.
7.  Simpan dalam bekas kedap udara.



Tuesday 4 February 2014

Dessert

Seterusnya untuk dessert atau pencuci mulut berikut adalah resepi puding marble. Sukatan asas apabila membuat agar-agar adalah 1:3, iaitu satu bahagian agar-agar basah dengan tiga bahagian air.




Bahan-bahan:

1/2 cawan agar-agar basah (telah direndam sebentar)
2 cawan air
1/4 cawan gula
1 tbs mentega/planta
1 biji telur
1/2 cawan susu
1 1/2 tbs tepung kastad
1 tbs serbuk koko/coklat emulco + 1 tbs air panas dikacau sebati
1 tsp esen vanila
1/8 tsp pewarna kuning

Cara-cara:

1.  Masak agar-agar bersama air.  Bila agar-agar larut masukkan gula dan masak sehingga gula larut.  Matikan api.
2.  Campurkan tepung kastad bersama susu dan kacau sebati.  Masukkan telur dan pukul sebentar.  
3.  Tapiskan adunan kastad, susu dan telur  ke dalam adunan agar-agar dan masak sekejap.
4.  Tutup api dan masukkan mentega dan esen vanila.  Kacau sebati.
5.  Bahagikan adunan kepada dua bahagian.  Satu bahagian dimasukan pes koko dan sebahagian lagi dicampurkan dengan pewarna kuning.
5.  Masukkan adunan koko dan kuning secara berselang seli ke dalam acuan puding.
6.  Sejukkan dalam peti sejuk.
7.  Hidangkan. 

Minuman


Salam sejahtera.  seterusnya berikut adalah resepi-resepi asas jenis-jenis minuman yang anda boleh gunakan untuk diinovasikan dan seterusnya disediakan.

A.  Minuman Merangsangkan (Panas)






Air Teh 
Bahan-bahan:
1 uncang teh
500 ml air panas
1 mangkuk gula
1 mangkuk susu

Cara-cara:
1.  Didihkan air.
2.  Panaskan teko dengan sedikit air mendidih.
3.  Masukkan uncang teh ke dalam teko.
4.  Tuangkan air mendidih ke dalam teko teh.
5.  Tutup teko dan biarkan teh menyeduh selama 5 minit.




6.  Hidangkan teh bersama gula dan susu secara berasingan.








B.  Minuman Menyegarkan (Jus - sejuk)

Jus Timun

Bahan-bahan:

1 batang timun 
1 tbs jus lemon/limau kasturi
3 tbs gula pasir - untuk membuat air gula
125 ml air panas - untuk membuat air gula
600 ml air
Ketulan ais

Cara-cara:

1.  Sediakan sirap. Campurkan gula dan air, kacau sebati.
2.  Timun dipotong bulat dan dimasukkan ke dalam blender dengan sebahagian air.
3.  Kisar hingga hancur.
4.  Tapiskan ke dalam jag.
5.  Masukkan air gula dan jus limau serta baki air, kacau sebati.
6.  Masukkan ketulan ais dan hidangkan.


C.  Minuman Berkhasiat  (Panas / sejuk)




Air Koko / coklat

Bahan-bahan:

2 tsp serbuk koko
500 ml susu segar/UHT
Gula (dihidang berasingan dalam mangkuk gula)

Cara-cara:

1.  Campur serbuk koko dengan sebahagian daripada susu. kacau sebati dan licin.
2.  Panaskan susu selebihnya dalam periuk.
3.  Setelah mendidih tuangkan susu ke dalam bancuhan koko.
4.  Masak bancuhan koko sehingga mendidih.
5.  Tuangkan ke dalam teko dan hidangkan bersama gula.


Sunday 26 January 2014

Bater dan Kuih Tempatan

Untuk amali pertama anda pada interaksi ke2 ini, anda akan mempelajari bater dan kuih tempatan serta dessert. Sukacita diingatkan bahawa saya hanya memberikan resepi asasnya sahaja, anda dikehendaki menginovasikannya semasa kelas amali nanti.

Saya sekali kan tajuk bater dengan kuih tempatan kerana kebanyakan kuih tempatan adalah berasaskan bater, iaitu bater cair.  Bagi bater cair anda akan memasak kuih lompang seperti resepi yang dipaparkan di bawah.  Manakala bagi  bater pekat (sadur) saya menyediakan resepi asas untuk bater sadurnya sahaja serta contoh bahan yang disadur iaitu keledek.  Maka terpulang kepada kreativiti cikgu untuk menginovasikan resepi ini.

Berdasarkan kepada resepi asas bater cair dan juga bater pekat seperti yang telah dinyatakan di dalam nota bater, beberapa bahan lain boleh ditambah bagi menambah khasiat dan juga rasa kepada masakan.  Bagi kuih lompang misalnya  anda boleh menambahkan pisang , jagung krim ataupun kelapa jika suka, ataupun dibiarkan kosong begitu sahaja.

Begitu juga bagi resepi bater pekat (sadur) anda boleh mempelbagaikan bahan yang disadur. Selain daripada keledek anda juga boleh menggunakan pisang, ubi kayu dan sayur-sayuran.  Bagi merangupkan bater apabila digoreng pula terdapat beberapa petua yang boleh digunakan, seperti mencampurkan adunan bater dengan sedikit cuka, telur ataupun air kapur.

Bater dan kuih tempatan kebiasaannya dijadikan sebagai hidangan minum petang ataupun minum pagi.  Maka selalunya minuman yang sesuai  dihidangkan bersama biasanya merupakan minuman panas.




Bahan-bahan:

1 cawan tepung beras
1 tbs tepung ubi
1/4 tsp air kapur
1/2 cawan gula pasir
1 1/2 cawan air 
perisa ros, perisa pandan
pewarna merah, hijau dan kuning
1 tbs kelapa parut (putih)

Cara-cara:

1.  Panaskan pengukus.
2.  Cairkan gula dengan 1 cawan air. Sejukkan.
3.  Sediakan bater. Campurkan tepung beras dan tepung ubi ke dalam mangkuk adunan. Masukkan 1/2 cawan air  serta air kapur dan kacau.
3.  Tambahkan air gula yang sudah disejukkan dan kacau sebati.
4.  Masukkan pewarna hijau dan perisa padan atau pewarna merah dan perisa strawberi ke dalam adunan dan kacau sebati.
5.  Tuang ke dalam acuan yang telah digris dengan sedikit minyak dan kukus hingga masak.
6.  Keluarkan dan sejukkan. Keluarkan kuih dari acuan dan hidangkan bersama kelapa parut.

** Kuih Lompang gula Melaka 
Tambah 1/2 keping gula melaka kepada 1/4 cawan gula dan cairkan dengan 1 cawan air.






  Keledek Goreng Rangup
Bahan-bahan:
3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung beras
1/2 cawan air
1/4 tsp garam
1 tbs cuka
1/4 tsp pewarna kuning /serbuk kunyit
2 ketul keledek, dibersihkan dan dipotong

Cara-cara:
1.  Ayak tepung dan garam ke dalam mangkuk adunan. Buat telaga di tengah-tengah.
2.   Masukkan separuh daripada air dan kacau sebati.
3.  Tambahkan lebihan air sedikit demi sedikit sehingga memperolehi konsistensi yang betul.
4.  Masukkan keledek yang telah dipotong kecil dan gaul sebati.
5.  Panaskan minyak dalam kuali dan goreng keledek dalam minyak penuh hingga kekuningan.
6.  Angkat dan toskan sebelum dihidangkan.











Tuesday 21 January 2014

Carta Sukatan

Assalamualaikum.
Berikut adalah carta sukatan yang boleh anda jadikan panduan dalam kerja-kerja amali anda. TQ.